Aznan dan lima lagi menyertai kursus eksekutif antarabangsa di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat, awal bulan ini.

JOHOR BAHRU – Seramai enam pegawai tadbir kerajaan negeri menyertai kursus eksekutif antarabangsa Leading the AI-Driven Organization di Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat pada awal bulan ini.

Kursus anjuran Permodalan Darul Takzim (PDT) dengan kerjasama MIT dan Johor Talent Development Council (JTDC) itu berlangsung dari 2 hingga 6 Februari lalu.

Peserta kursus melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin; Pegawai Daerah Kulai, Fizwan Mohd Rashidi dan Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah.

Ia termasuk Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO), Mohd Johari Tarmidi; Setiausaha Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Ezahar Abu Sairin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), Mohd Fahmi Salam.

Aznan berkata, penyertaan itu adalah visi dan iltizam dalam memperkukuh kemahiran kepimpinan global terhadap pegawai tadbir kerajaan negeri agar lebih kompeten, progresif dan berdaya saing seiring keperluan masa depan.

“Khusus ini untuk melengkapkan barisan kepimpinan negeri dengan ilmu dan kefahaman sebenar berkaitan kecerdasan buatan (AI), agar setiap dasar dan keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.

“Di bawah pentadbiran kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, kami sentiasa komited dalam meningkatkan tadbir urus negeri yang lebih cekap, telus dan mesra rakyat agar setiap dasar serta keputusan yang dibuat berpaksikan kepentingan rakyat.

“Insya-Allah, segala ilmu dan pendedahan ini akan dimanfaatkan sebaiknya selari dengan usaha penubuhan Johor AI Council.

“Semoga setiap langkah yang diambil ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan membawa manfaat besar kepada pembangunan teknologi, pendidikan berkualiti serta kesejahteraan seluruh rakyat negeri Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast