Logo Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius laporan media terkini berhubung Ketua Pesuruhjaya yang mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas.

Suruhanjaya itu dalam kenyataannya hari ini menegaskan, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa.

Ini termasuk pengisytiharan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham.

“Gambaran seolah-olah terdapat kegagalan membuat pengisytiharan harta adalah tidak benar dari segi fakta dan memberi tanggapan yang mengelirukan terhadap kerangka integriti dan tatakelola yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam, sekali gus memberi persepsi yang negatif ke atas Suruhanjaya ini sebagai sebuah agensi penguatkuasaan,” katanya.

Tambah SPRM, laporan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai berkenaan malah secara tidak berasas mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap Suruhanjaya ini.

Jelasnya, pengisytiharan harta oleh penjawat awam adalah tertakluk kepada tadbir urus dan prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam dan dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

SPRM kekal komited dalam menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas- tugas statutori yang diamanahkan, serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan awam terhadap Suruhanjaya ini melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast