Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media berkenaan wajah eman individu yang dikehendaki dalam Op Bugil di Menara 1 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBRUARi 2026.

KUALA LUMPUR – Sindiket jenayah terancang mellibatkan aktiviti pemerasan seksual secara dalam talian atau ‘online sextortion‘ berjaya ditumpaskan di Johor menerusi Ops Bugil.

Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Ismail berkata, operasi itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor pada 15 Januari lalu.

Katanya, kumpulan jenayah itu diketuai oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan dianggotai seramai 11 individu berumur 18 hingga 37 tahun.

“Berdasarkan laporan polis yang diterima seluruh negara, kumpulan ini mula bergiat aktif sejak 2024 dan telah menyebabkan kerugian dianggarkan melebihi RM3 juta.

“Sindiket ini menjalankan kegiatan penipuan dengan mencipta akaun media sosial palsu dan menyamar sebagai wanita menarik untuk memperdaya mangsa agar melakukan panggilan video lucah.

“Mangsa juga dihantar pautan phishing bagi tujuan menggodam data telefon bimbit mereka dan rakaman video lucah mangsa kemudiannya digunakan sebagai bahan ugutan untuk memeras wang secara berperingkat.

“Mangsa yang berada dalam keadaan takut dan tertekan akan memindahkan wang ke akaun sindiket sebagaimana diarahkan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media di Menara 1 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBRUARi 2026.

Selain pemerasan, beliau memaklumkan sindiket itu turut dikesan menjalankan kegiatan eksploitasi dan pemerdagangan orang dengan merekrut pekerja tempatan termasuk individu bawah umur.

“Mangsa akan ditawarkan gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan dan setelah dilatih akan ditawarkan pekerjaan di luar negara seperti di Laos dan Kemboja dengan gaji mencecah AS$2,500.

“Mangsa juga dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari, dikawal pergerakan, dirampas dokumen pengenalan serta didera secara fizikal dan seksual sekiranya enggan menurut arahan.

“Mangsa turut diugut dengan bayaran RM30,000 sekiranya ingin berhenti kerja dan kebanyakkan mangsa enggan membuat lapora polis kerana takut dengan ugutan sindiket,” jelasnya.

Susulan itu, pasukan operasi telah menahan seramai enam individu berumur antara 18 hingga 33 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan pemerdagangan orang dan kanak-kanak, memiliki serta menghasilkan pornografi kanak-kanak, rompakan berkumpulan dan bersenjata, khianat dengan membencanakan kabel, mencuri, merusuh serta aktiviti pengedaran dadah.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu dan kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang.

“Pertuduhan terhadap kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 12 Februari ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pihaknya masih lagi mengesan lima individu termasuk ketua sindiket dipercayai berada di dalam negara dan di luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast