Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Desakan Datuk Seri Ronald Kiandee supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai Presiden Perti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  susulan langkah lembaga disiplin (LD) mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang didakwa mencabar institusi parti dan melanggar Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli disifatkan sebagai tindakan terdesak.

Ketua Penerangan Bersatu,Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, dakwaan tindakan LD merupakan penyalahgunaan prosedur bagi membungkam suara pimpinan utama parti juga tidak benar sama sekali.

Menurutnya, LD diperuntukkan kuasa oleh Perlembagaan Bersatu untuk mengambil tindakan mengukuhkan disiplin pemimpin dan ahli-ahli parti.

Malah, ramai yang berpandangan jika LD mengambil tindakan tegas sejak awal lagi, sudah tentu Geng SD tidak akan sewenang-wenangnya melanggar perlembagaan dan keputusan-keputusan parti berulang kali.

Sebaliknya, ramai berpendapat tindakan LD sepatutnya telah lama diambil terhadap individu-individu yang secara berterusan dan berulang kali melanggar perlembagaan, menentang keputusan parti, serta mencabar kewibawaan institusi parti seolah-olah Perlembagaan dan LD tidak wujud.

“Sebagai naib presiden parti, Ronald sepatutnya berperanan menghalang pemimpin-pemimpin Bersatu negeri Sabah serta penyokong-penyokong Datuk Seri Hamzah daripada terus melanggar perlembagaan, disiplin dan keputusan parti.

“Namun perkara tersebut tidak pernah dilaksanakan sebelum ini. Ironinya, Ronald kini tampil bukan untuk mempertahankan Perlembagaan dan keputusan parti, sebaliknya mempertahankan mereka yang berulang kali melanggar perlembagaan dan menentang keputusan parti.

“Tindakan ini jelas tidak bertanggungjawab dan mencerminkan kegagalan beliau menjalankan amanah sebagai naib presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan yang dipercayai menjawab gesaan Ronald supaya Muhyiddin berundur.

Berikutan itu, Tun Faisal berkata, adalah sewajarnya Ronald melepaskan jawatannya atas kegagalan berfungsi dengan berkesan selama ini.

Apatah lagi, atas kegagalannya mengetuai Badan Pimpinan Negeri (BPN) Sabah, yang menjadi antara punca utama pencapaian buruk calon-calon Bersatu Sabah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan negeri itu.

Selain itu, dakwanya, Ronald juga gagal membentangkan perancangan strategik dan memulakan gerak kerja PRU lebih awal, malah sehingga kini masih belum mengemukakan sebarang laporan pasca pilihan raya secara bertulis.

Lebih memburukkan keadaan, Setiausaha BPN Sabah, Yunus Nurdin, yang merupakan lantikan Ronald, bersama beberapa pemimpin Bersatu Sabah cuba mengalihkan kesalahan tersebut kepada presiden parti.

Sedangkan, tuduhan ini adalah tidak berasas kerana sejak awal lagi, autonomi dan autoriti penuh untuk mempersiapkan jentera Sabah telah diberikan di bawah Hamzah selaku Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, serta Ronald sendiri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sabah, tanpa sebarang campur tangan daripada Presiden parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast