Pertukaran memorandom perjanjian MoU antara UMS dengan ERÜ.

KAYSERI, TÜRKIYE – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Erciyes University, Türkiye sempena lawatan rasmi delegasi universiti itu ke
republik berkenaan.

MoU tersebut ditandatangani Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor dan Rektör ERÜ, Profesor Dr Fatih Altun, sekali gus membuka laluan kerjasama strategik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan bersama serta
mobiliti pelajar dan staf akademik, khususnya dalam disiplin sains sosial dan hubungan antarabangsa.

Inisiatif berkenaan diterajui oleh Program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS sebagai langkah permulaan pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik bersama, termasuk seminar, syarahan ilmiah serta
penerbitan bersama.

Menurut Kasim, UMS komited memperluas keterlibatan akademik dengan Türkiye, termasuk usaha memperkenalkan Bahasa Turki sebagai kursus Bahasa Ketiga di FSSK.

“UMS melihat Bahasa Turki sebagai pelaburan strategik dalam pendidikan antarabangsa kerana bahasa ini semakin relevan dalam konteks diplomasi dan hubungan antarabangsa.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasa pelajar dengan kemahiran bahasa asing baharu, malah menyokong pengajian hubungan antarabangsa, diplomasi dan kajian serantau, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan di peringkat global,”
katanya.

Lawatan kerja UMS ke Türkiye merangkumi kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Malaysia di Ankara, sesi ucaptama Naib Canselor di Fakulti Ekonomi dan Sains Pentadbiran ERÜ, pembentangan akademik oleh pensyarah UMS, penganjuran pameran mini memperkenalkan Malaysia, Sabah dan UMS serta lawatan penandaarasan ke Hospital Fakulti Perubatan ERÜ.

Selain itu, program akademik UMS di ERÜ juga diserikan dengan perkongsian pengalaman oleh dua pelajar pertukaran UMS yang kini mengikuti pengajian di Türkiye di bawah tajaan kerajaan negara berkenaan.

Delegasi UMS turut mengadakan lawatan akademik ke Istanbul University yang diketuai Dekan FSSK UMS, Profesor Dr Asmady Idris, bagi meneroka peluang kerjasama lanjut dalam bidang sains politik, hubungan antarabangsa dan penganjuran seminar bersama.

Pemeteraian MoU mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam memanfaatkan hubungan erat Malaysia–Türkiye, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi berdaya saing di persada antarabangsa selaras dengan aspirasi “The
Brain of Borneo”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast