Pekerja Petronas menerangkan cara penggunaan aplikasi Setel bagi memudahkan pengugna mengesahkan kelayakan subsidi untuk petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang dilancarkan Kementerian Kewangan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Batu Caves, Selangor. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka dapat melakukan penjimatan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion pada tahun ini hasil daripada pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON96 (BUDI95).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bukan sahaja dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan malah memberi pelbagai manfaat serta sudah disalurkan semula kepada rakyat bagi mengurangkan beban kos sara hidup.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, penggunaan MyKad juga terbukti berkesan di mana subsidi boleh disalurkan dengan lebih selamat, teratur dan efisien.

“BUDI95 merekodkan purata sehingga 3.1 juta transaksi sehari atau sehingga 96 juta transaksi sebulan.

“Ini bukti bahawa urusan membeli RON95 bersubsidi kekal lancar,” katanya pada pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta perincian penjimatan dicapai melalui pelaksanaan BUDI95 sepanjang 2025 dan unjuran penjimatan bagi 2026 serta bagaimana penjimatan itu dimanfaatkan untuk disalurkan semula bagi meringankan kos sara hidup rakyat khususnya B40 dan M40.

BUDI95 yang merupakan langkah penyasaran subsidi petrol RON95 diperkenalkan kerajaan sejak September tahun lalu.

Mengulas lanjut lanjut, Anwar menambah, had penggunaan 300 liter sebulan untuk RON95 bersubsidi kini juga dilihat tidak lagi menjadi isu.

Ketika ini, jelas beliau, had itu cukup untuk kegunaan biasa berdasarkan data penggunaan yang menunjukkan purata kegunaan sekitar 100 liter sebulan dan 90 peratus pengguna tidak menggunakan lebih daripada 200 liter sebulan.

“Setakat ini penyasaran subsidi RON95 untuk 2026 dijangka menjimatkan RM2.5 bilion.

“Alhamdulillah kerana kejayaan itu kita boleh perkenalkan beberapa program untuk membantu rakyat termasuk STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah).

“Dua hari lalu, 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas terima RM100 setiap individu melalui MyKad (melalui) SARA,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast