Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada pemberita selepas membuat aduan semula penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan menyemak semula laporan mengenai penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) melibatkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam masa terdekat.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, badan itu perlu merujuk kepada SPRM Selangor susulan laporan penyelewengan itu dihantar di Shah Alam sebelum membuka semula kertas siasatan.

“Alhamdulillah, kita telah membuat aduan kembali kepada pihak SPRM minta disiasat, dicop terima. Pihak SPRM telah mengambil dokumen ini balik, mengambil maklum dan saya telah berjumpa dengan pegawai penyiasat untuk perkara ini dan Insya-Allah dia akan memaklumkan balik dalam waktu terdekat.

“Di dalam sistem, tadi dia lihat, memang ada laporan pada tarikh tersebut dan siasatan akan dijalankan kembali dan maklumat akan dimaklumkan kepada saya dalam waktu yang terdekat,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk membuat laporan meminta agensi itu membuka semula kertas siasatan penyelewengan dana YAWAS membabitkan Teresa.

Pada 26 Julai 2022, Teresa yang juga bekas Menteri Industri Utama memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan menyalahgunakan dana YAWAS.

Jamal juga diarahkan membayar kos RM50,000 kepada plaintif dan jumlah itu harus dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh Teresa memperoleh ganti rugi am, teruk dan teladan.

Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017 mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana YAWAS ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada pemberita selepas membuat aduan semula penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini.

Ketika ditanya mengenai status laporan SPRM beliau pada 2017, Jamal berkata, sehingga sekarang beliau tidak dimaklumkan sebarang perkembangan termasuk tiada tindakan lanjut (NFA).

“Tidak ada (NFA), tak tahu status, dia tak maklumkan status apa tapi itulah yang dimaklumkan kepada saya,” katanya.

Selain itu, jelas Jamal, banyak dokumen yang dilampirkan sebagai bukti dalam laporan SPRM beliau terhadap Teresa pada 2017.

“Hampir tujuh hari saya berhubungan dengan pihak SPRM untuk melengkapkan aduan. Jadi, beberapa dokumen. Ini pertanyaan-pertanyaan yang pihak SPRM minta.

“Kami sudah lengkapkan dan hasil daripada apa yang saya adukan, malah pejabat Terasa Kok digeledah dan dua orang pegawainya, tak silap saya, direman beberapa hari termasuklah Terasa Kok sendiri telah dipanggil SPRM untuk diambil keterangan,” katanya.

Malangnya, dakwa Jamal, aduan penyelewengan dana YAWAS itu seolah-olah disenyapkan ketika pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018.

“Apabila pertukaran kerajaan (persekutuan), aduan yang saya buat disenyapkan, Saya tak tahu, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Selangor ketika itu ditadbir oleh parti selain Barisan Nasional (BN),” katanya.

Katanya lagi, permohonan beliau hari ini bukan bermaksud mahu mempertikaikan keputusan mahkamah terhadap dirinya dalam kes saman fitnah sebaliknya mahu SPRM membuka semula kertas siasatan demi menuntut keadilan dirinya.

“Bagi saya, yang sudah lepas itu kalah-kalahlah. Mungkin bila kes ini disiasat kembali, saya ingin dapatkan kembali keadilan bahawa saya, Jamal bin Muhammad Yunus bukan seorang pemfitnah.

“Malah seorang yang jujur dan membawa isu rakyat. Program ini melibatkan RM500 juta wang rakyat Selangor.

“Apabila kes ini berjalan, saya akan failkan kembali, saman kembali Teresa Kok di mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast