Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak bertindak melampaui batas undang-undang dalam menangani isu sensitif termasuk berkaitan rumah ibadat.

Beliau menegaskan, Malaysia adalah negara berteraskan kedaulatan undang-undang dan tidak akan bertolak ansur dengan tindakan individu atau kumpulan yang cuba mengambil tindakan sendiri.

“Negara mesti berasaskan undang-undang bukan kehendak individu. Jika ada ketidakpuasan hati, gunakan saluran sah polis atau mahkamah dan bukan mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

Menurut Anwar, sebarang perbezaan pandangan atau pertikaian perlu diselesaikan melalui proses sah, bukannya tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah diarahkan bertindak tegas untuk memastikan setiap pelanggaran ditangani mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan.

“Ini sebabnya kita belum mencapai kata sepakat kerana keputusan kerajaan mesti berasaskan undang-undang.

“Ya, terdapat isu, kontroversi dan perbezaan tetapi kepentingan utama adalah untuk menjaga kestabilan, kesucian kepercayaan, dan perpaduan,” katanya lagi.

Isnin lalu, Anwar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan untuk ‘membersihkan’ rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut peraturan sah, sambil menegaskan kerajaan tidak mengizinkan pembinaan rumah ibadat yang melanggar undang-undang.

Sehari selepas itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan dengan pendirian dan ketegasan kerajaan yang disuarakan Perdana Menteri, berhubung isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan.

Sultan Sharafuddin bertitah, pendirian tegas kerajaan selari dengan prinsip baginda untuk memastikan setiap pembangunan dijalankan mengikut undang-undang dan tadbir urus yang baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast