Siti Hasmah tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka, semalam selepas suaminya, Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, maut dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai pemandunya, lelaki berusia 35 tahun mengalami microsleep di Padang Jambu, Bukit Baru, Melaka jam 2 petang semalam.

MELAKA – Bapa kepada empat anak yang maut selepas motosikalnya dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai microsleep di Padang Jambu, Bukit Baru di sini petang semalam rupanya dalam perjalanan menjemput anaknya, seorang orang kurang upaya (OKU) pulang dari sekolah.

Lebih menyayat hati, ia menjadi rutin harian Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, sebelum hayatnya berakhir dalam tragedi di di persimpangan lampu isyarat itu dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu.

Adik ipar mangsa, Abdul Rashid Abdul Hamid, 37, berkata, arwah seorang bapa yang sangat bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anaknya berusian antara 10 hingga 17 tahun, terutama anak OKU yang memerlukan perhatian khusus.

Abdul Rashid Abdul Hamid

“Itu memang rutin harian arwah yang mana waktu siang dia uruskan anak-anak ke sekolah manakala di sebelah malam pula berniaga kedai makan.

“Tragedi menyayat hati ini berlaku sekelip mata dan saya pun tak sangka ketika dimaklumkan oleh seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui lokasi nahas semalam,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini semalam.

Menurutnya, kali terakhir arwah ditemui adalah pada malam sebelum kejadian ketika mereka berniaga makanan bersama, namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

Kedai makan diusahakan arwah Mohd Shahrol Anuar Md Roby.

“Saya buat roti manakala dia uruskan kedai dan ketika itu arwah nampak seperti biasa tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik.

“Waktu mendapat berita sedih ini semalam, saya tak tahu bagaimana untuk menyampaikan berita kepada kakak, Siti Hasmah Abdul Hamid dan empat anaknya kerana ia berlaku begitu pantas.

“Bayangkan perasaan sedih apabila arwah pergi ketika dia sedang menunaikan tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya sebak sambil menambah arwah yang berasal dari Batu Berendam sebelum berpindah ke Duyong selepas berkahwin.


Tangkap layar dari rakaman papan pemuka berdurasi 41 saat yang tular di media sosial memaparkan kereta terbabit dipandu secara melulu sebelum merempuh mangsa dan empat kenderaan lain dari arah bertentangan mengakibatkannya melambung dan meninggal dunia di lokasi.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Mohd Shahrol yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut manakala empat lagi cedera selepas pemandu Myvi berkenaan dipercayai microsleep sebelum terbabas dan merempuh tiga motosikal dan dua buah kereta yang sedang berhenti di persimpangan itu.

Rakaman papan pemuka berdurasi 41 saat yang tular di media sosial memaparkan kereta terbabit dipandu secara melulu
sebelum merempuh mangsa dari arah bertentangan mengakibatkannya melambung dan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu Perodua Myvi berkenaan dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun yang datang dari arah Bandar Melaka menghala ke Bukit Beruang dipercayai terlelap seketika.

Terlelap seketika atau ‘microsleep’ dipercayai menjadi punca pemandu sebuah Perodua Myvi merempuh lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, Bukit Baru, Melaka.

Menurutnya, keputusan ujian pernafasan dan ujian saringan dadah terhadap pemandu Myvi tersebut didapati negatif, namun sampel darah telah diambil untuk ujian toksikologi.

Pemandu Myvi berkeaan akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh pagi ini bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pemandu Myvi dipercayai microsleep rempuh maut penunggang, 5 kenderaan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast