PUTRAJAYA — Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendedahkan, maklumat berkaitan kewujudan gerakan kultus dari Korea yang menggunakan nama Jesus di Malaysia telah disalurkan kepada pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, pelbagai dokumen berkaitan perkara itu telah diterima pihak berwajib bagi membolehkan penelitian lanjut dilakukan.
“Pihak yang membentang (aktiviti) itu kita jemput dia bentang ke Jawatankuasa Fatwa Perlis setelah dia mengemukakan kerisauan mengenai banyak kes-kes (berkaitan kultus berkenaan) di Malaysia.
“Sebelum dia (pihak ketiga) bentangkan perkara itu pun, dia telah siapkan dokumen yang lengkap dan tebal.
“Dokumen itu kini sudah berada di pihak KDN,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi RTD Diyat Kemalangan Jalan Raya yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Mohd Asri dijemput mengemukakan maklumat berhubung dakwaan kewujudan gerakan berkenaan bagi membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran jelas dan menjalankan siasatan.
Isu itu timbul selepas mufti berkenaan pada Disember lalu menyatakan sebuah gerakan kultus berasal dari Korea yang menggunakan nama Jesus dengan dakwaan disifatkan janggal dan menyimpang didakwa aktif di negara ini.
Mengulas sama ada beliau telah memberi keterangan lanjut, Mohd Asri berkata maklumat yang diperlukan telah tersedia untuk penelitian pihak berkuasa.
“Saya rasa maklumat dah lengkap sebab itu masa awalnya dia (KDN) sebut, saya dimaklumkan dia kata dia dah dapat dah dapat (maklumat berkenaan),” katanya.
Beliau sebelum ini turut memaklumkan taklimat mengenai gerakan tersebut telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, selain membangkitkan kebimbangan mengenai penglibatan beberapa individu berprofil tinggi yang didakwa mempunyai kaitan dengannya. — MalaysiaGazette
















