KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatatkan keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya pada 1972, iaitu RM227 juta pada 2024 dan RM201 juta pada 2025, berbanding kerugian besar RM421 juta pada 2022 dan RM236 juta pada 2023.
NAFAS dalam kenyataan, berkata pemulihan itu dicapai melalui pengukuhan aliran pendapatan teras, pemulihan unit perniagaan rugi, dan pemantapan kawalan dalaman.
Bagi mengekalkan momentum transformasi, NAFAS melancarkan Pelan Reformasi NAFAS 2026–2030 (NAFAS 2.0) bertemakan Transformasi, Pemerkasaan dan Berdaya Saing, yang menekankan tadbir urus profesional, integriti institusi, dan kelestarian perniagaan demi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang.
“Pelan ini bertujuan memperkukuh tadbir urus, integriti dan kelestarian institusi demi kepentingan lebih 600,000 ahli peladang, sambil memastikan NAFAS beroperasi secara profesional, telus, dan berakauntabiliti.
“Pelan reformasi ini menekankan penambahbaikan dalam tadbir urus dan kepimpinan organisasi, pematuhan undang-undang dan peraturan, pengurusan perolehan, model perniagaan dan kelestarian kewangan, serta strategi komunikasi dan pemulihan kepercayaan awam.
“Sebagai bukti komitmen terhadap agenda reformasi, dokumen rujukan strategik NAFAS 2.0 telah diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menandakan kesinambungan penstrukturan semula yang dimulakan sejak 2023 dan selaras dengan dasar agromakanan negara,” katanya.
NAFAS juga berjaya memperoleh kontrak input pertanian bernilai kira-kira RM2.46 bilion bagi tempoh 2025–2028, selain menyumbang hampir RM1 bilion kepada hasil kumpulan melalui tender terbuka di peringkat kementerian, agensi kerajaan, dan pasaran terbuka.
Langkah agresif turut diambil bagi menagih tuntutan bayaran tertunggak melebihi RM500 juta, sekali gus mengurangkan baki belum terima secara signifikan.
Sebagai sebahagian daripada agenda reformasi, NAFAS melaksanakan rasionalisasi pelaburan dengan menutup subsidiari yang mencatat kerugian terkumpul hampir RM200 juta, menjana penjimatan tahunan kira-kira RM5 juta dan membolehkan sumber difokuskan kepada entiti berdaya saing dalam bidang input pertanian, perkhidmatan agronomi dan teknologi pertanian.
Dalam majlis taklimat pelan reformasi itu, Pengerusi Majlis Penasihat NAFAS, Tan Sri Zainal Rahim Seman, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Mat Amin, dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin membentangkan kemajuan reformasi yang merangkumi pengukuhan pengurusan kewangan, penambahbaikan proses perolehan, tadbir urus korporat, dan pemulihan unit perniagaan rugi.
“Tadbir urus korporat turut diperkukuh melalui pemisahan fungsi pembuat dasar dan pelaksana serta penambahbaikan proses perolehan berasaskan prinsip persaingan adil dan nilai terbaik.
“Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, NAFAS kini berada pada posisi terbaik untuk mengagihkan dividen kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan memastikan bekalan baja sampai kepada hampir 200,000 pesawah secara lebih efisien, selaras kapasiti pengeluaran 360,000 metrik tan setahun,” jelasnya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa reformasi itu bertujuan melindungi kepentingan ahli peladang dan memastikan aset NAFAS diurus secara bertanggungjawab bagi pulangan adil kepada akar umbi.
Penyerahan pelan itu menandakan peralihan organisasi daripada fasa pemulihan kepada pengukuhan dan pengembangan, selaras dengan agenda Keterjaminan Makanan Negara dan kerangka Malaysia Madani. – MalaysiaGazette















