KUANTAN – Pahang menetapkan sasaran 15.5 juta pelancong ke negeri itu tahun ini, dengan menawarkan 50 acara pelancongan termasuk bertaraf antarabangsa.
Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, prestasi pelancongan negeri ini menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila merekodkan anggaran perbelanjaan pelancong berjumlah RM13.72 bilion hasil kedatangan 15.2 juta pelancong tahun lalu.
Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang mensasarkan 14 juta pelancong tahun lalu dan tidak menjangkakan 15.2 juta pelancong memilih Pahang sebagai destinasi percutian.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan positif 11.21 peratus berbanding 13.7 juta pelancong pada 2024.
“Jumlah ini hanya mengambil kira pelancong yang bermalam sekurang-kurangnya satu malam dan tidak termasuk pelancong harian. Jika jumlah pelancong harian diambil kira, jumlah pelancong lebih ramai,” katanya menerusi sidang media di sini.

Menurut Yu Man, Genting Highlands adalah antara 20 destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa dengan kedatangan 8.61 juta pelancong sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan statistik, beliau berkata destinasi pelancongan kedua tertinggi ialah Kuantan yang merekodkan kedatangan seramai 2.21 juta pelancong, diikuti ketiga, Cameron Highlands dengan jumlah 1.37 juta pelancong.
“Tiga destinasi pelancongan ini antara penyumbang terbesar daripada 15.2 juta pelancong yang berkunjung ke Pahang.
“Pencapaian ini membuktikan Pahang terus menjadi destinasi pelancongan utama negara yang membawa impak ekonomi yang jauh lebih besar kepada negeri dan rakyat,” katanya.
Mengulas persiapan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Yu Man berkata, Pahang bersedia melangkah ke fasa baharu sebagai rakan utama kempen berkenaan.
Tourism Pahang katanya akan memberi tumpuan kepada empat dimensi utama iaitu peningkatan kualiti produk dan pengalaman pelancong, pemuliharaan destinasi dan biodiversiti, pengukuhan promosi dalam dan luar negara serta pemerkasaan komuniti setempat sebagai rakan kongsi pelancongan.
Dalam masa sama, katanya, Tourism Pahang akan terus memperhebat promosi di peringkat antarabangsa termasuk menyertai ekspo pelancongan utama di luar negara serta memperluaskan kempen pemasaran melalui media cetak, elektronik dan platform digital. – MalaysiaGazette
















