KUANTAN – Waktu bekerja bagi penjawat awam di Pahang pada setiap hari Jumaat sepanjang Ramadan bermula pukul 8 pagi dan berakhir 12.30 tengah hari.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketetapan itu selaras dengan titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan surat yang dikeluarkan oleh Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 16 Januari 2026.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami kepentingan Ramadan sebagai bulan ibadah.
“Justeru pelarasan ini dibuat dengan penuh tanggungjawab bagi memberi keseimbangan antara tuntutan tugas dan penghayatan Ramadan tanpa mengabaikan komitmen penjawat awam kepada rakyat.
“Saya yakin seluruh penjawat awam Negeri Pahang akan terus mengekalkan profesionalisme, integriti dan komitmen tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang bulan yang mulia ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tempoh pelaksanaan waktu kerja penjawat awam bagi bulan Ramadan itu bermula 19 Februari 2026 hingga 20 Mac 2026. – MalaysiaGazette
















