Logo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Perdana Menteri supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara menguatkuasakan undang-undang terhadap pembinaan dan operasi rumah ibadat yang tidak mempunyai kelulusan.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom berkata, langkah itu selari dengan kerangka Malaysia Madani khususnya prinsip kesejahteraan dan hormat yang menekankan penyelesaian secara berhemah, berperikemanusiaan dan berpandangan jauh.

“Ketegasan ini bukan bertujuan menekan kebebasan beragama, sebaliknya memastikan kebebasan itu dilindungi melalui sistem yang adil dan berasaskan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, penguatkuasaan yang konsisten dan menyeluruh penting bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melalui pelanggaran peraturan, selain menjamin keadilan kepada semua komuniti.

Hasan berkata, Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 3(1) menetapkan Islam sebagai Agama Persekutuan namun pada masa sama menjamin kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.

“Dalam kerangka Malaysia Madani, undang-undang bukan sekadar alat hukuman, tetapi mekanisme keadilan sosial yang memastikan tiada pihak mendapat kelebihan secara tidak sah dan tiada komuniti dizalimi,” ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan sejarah menunjukkan pembiaran isu sensitif berkaitan agama dan tanah, jika tidak ditangani secara berprinsip boleh mencetuskan ketegangan yang lebih besar dan sukar dipulihkan.

Katanya, kegagalan menguatkuasakan peraturan secara adil akan menormalisasikan pelanggaran atas nama agama, menanam rasa tidak puas hati antara komuniti serta membuka ruang manipulasi isu agama oleh pihak berkepentingan.

“Situasi ini juga boleh menjadikan isu agama sebagai alat politik dan provokasi, sekali gus menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan arahan Perdana Menteri secara tegas dan menyeluruh mampu mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, menutup ruang eksploitasi oleh pihak ekstrem, menjamin keselamatan awam serta memperkukuh keharmonian antara agama secara tulen.

Keharmonian yang dibina mestilah bersifat tulen dan berteraskan keadilan, bukan sekadar bersifat kosmetik atau sementara.

Sejajar dengan semangat Malaysia Madani, katanya, YADIM komited untuk terus menyokong usaha kerajaan memperkukuh kefahaman masyarakat, menjadi jambatan dialog antara agama dan komuniti selain memperkasa dakwah yang mendidik, dan menyatukan rakyat.

“YADIM akan terus memainkan peranan mendidik masyarakat supaya isu sensitif berkaitan agama dapat ditangani secara matang, rasional dan berlandaskan undang-undang,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast