Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Pulau Pinang dijangka menyaksikan kira-kira dua juta kenderaan melalui negeri ini sepanjang Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026, yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, angka itu meningkat berbanding kira-kira 1.8 juta kenderaan pada Op Selamat tahun lepas, susulan pergerakan warga kota dan mereka yang menetap di bandar pulang menziarahi keluarga, selain ketibaan Ramadan.

Beliau menjelaskan, peningkatan itu mungkin menyebabkan kesesakan di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran, terutama pada waktu puncak.

“Sepanjang enam hari operasi, 380 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan bertugas 24 jam untuk memastikan kelancaran dan keselamatan trafik.

“Operasi ini turut melibatkan JPJKK dengan 350 unit rondaan, termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kenderaan peronda (MPV), serta kerjasama JPJ, PBT dan PLUS,” katanya.

Azizee beramah mesra dengan orang awam di Pasar Jelutong di sini, sempena Majlis Advokasi Op Selamat 25 bagi Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian pada Majlis Advokasi Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Pasar Awam Jelutong di sini, hari ini.

Tambah Azizee, konsep operasi kali ini ialah Pre-Emptive Services and Total Enforcement, menekankan langkah pencegahan awal dan tindakan proaktif untuk mengurangkan kesesakan serta kemalangan jalan raya.

“Sebanyak 45 lokasi dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ dan ‘blackspot’, termasuk Jalan Teluk Air Tawar–Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai–Jalan Kulim, Jalan Besar Simpang Empat (KM12 hingga KM32), Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam–Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr Awang.

“JSPT akan meningkatkan kehadiran secara menyeluruh di semua lokasi ini bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast