Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) diberi taklimat mengenai perkembangan pembangunan Projek Naik Taraf Jalan FT1486 Dari Persimpangan Lampu Isyarat Bukit Goh Ke KotaSAS, Kuantan

KUANTAN – Sebanyak 255 projek dalam pembinaan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) merekodkan pencapaian Mendahului Jadual (AOT).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu meliputi 29.8 peratus daripada jumlah keseluruhan 855 projek yang masih berjalan sehingga kini.

“Projek yang ikut jadual pula adalah 273 projek atau 32 peratus manakala projek sakit yang telah dibentang, ada 35 projek daripada 855 iaitu 4.1 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika Sesi Lawatan rasmi ke Projek Naik Taraf Jalan FT1486 Dari Persimpangan Lampu Isyarat Bukit Goh Ke KotaSAS, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kerja Raya Pahang, Datuk Ir Ts Hafizah Zakaria.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika sidang media di Kuantan hari ini

Ahmad sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Pelanggan Bilangan 1 Tahun 2026 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini.

Menurutnya, jumlah projek sakit turut dilaporkan menurun berbanding 53 projek sakit yang direkodkan pada bulan Oktober 2025.

“Antara penyebab utama yang mempengaruhi jadual pelaksanaan projek adalah isu kontraktor (74 peratus) seperti kemahiran mengurus projek, masalah aliran kewangan kontraktor serta isu kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan di tapak.

“Isu-isu lain sebanyak 24 peratus adalah merangkumi isu pengambilan balik tanah dan bayaran pampasan, masalah kelulusan dan kelewatan pengalihan utiliti seperti air, elektrik, pembentungan dan telekomunikasi serta masalah cuaca dan bencana alam. Masalah disebabkan perubahan reka bentuk atau tambahan skop kerja hanya menyumbang sekitar tiga peratus sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai projek Naik Taraf Jalan FT1486 Dari Persimpangan Lampu Isyarat Bukit Goh Ke KotaSAS di sini, katanya, projek dengan peruntukan RM 46.54 juta itu kini pada tahap 30.91 peratus, mendahului jadual awal sebanyak 0.06 peratus.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, bagi tahun ini sehingga 26 Januari 2026, sebanyak 2,607 projek fizikal pembinaan dengan kos projek bernilai RM154.403 bilion telah diamanahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi teknikal negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,249 projek atau 48 peratus berada di peringkat pra-pembinaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast