GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang telah mengeluarkan 395 permit kelulusan untuk menjual bunga api dan mercun sempena perayaan Tahun Baharu Cina di negeri ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya menerima sebanyak 448 permohonan permit secara keseluruhan tahun ini.
“Daripada jumlah itu, 395 permohonan telah diluluskan, 34 dalam proses semakan manakala 19 permohonan ditolak selepas penilaian.
“Bagi pecahan mengikut daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menerima 119 permohonan, dengan 98 diluluskan dan 24 masih dalam proses semakan manakala bagi IPD Barat Daya pula, daripada 54 permohonan, 52 diluluskan serta dua ditolak.
“Di IPD Seberang Perai Tengah, sebanyak 114 permohonan diterima, 85 diluluskan, 16 ditolak manakala 13 masih dalam proses dan di IPD Seberang Perai Selatan daripada 70 permohonan, 69 diluluskan dan satu ditolak manakala IPD Seberang Perai Utara kesemua 91 permohonan yang diterima,” katanya ketika ditemui pada Majlis Advokasi Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang di Pasar Awam Jelutong di sini hari ini.
Tambah Azizee, pemantauan aktiviti jualan bunga api dan mercun akan diteruskan melalui Ketua Polis Daerah masing-masing bagi memastikan pematuhan undang-undang. – MalaysiaGazette















