KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen mencadangkan agar kerajaan melarang kemasukan kenderaan orang awam ke kawasan pengoperasian Rapid Transit System Link (RTS Link) Bukit Chagar di Johor Bahru bagi mengelakkan kesesakan luar biasa di kawasan berkenaan.
Jimmy Puah (PH-Tebrau) berkata, penumpang RTS itu perlu menggunakan bas EV dengan penetapan tiga laluan melibatkan kawasan barat, utara dan timur Johor Bahru bagi menyuraikan ribuan penumpang yang tiba menggunakan perkhidmatan itu.
“Sekarang ini bandar Johor sudah sesak kalau RTS beroperasi nanti bayangkan bagaimana dan jadi saya cadang kita melarang kenderaan orang awam masuk ke zon di mana RTS beroperasi jika tidak ia akan menyebabkan kesesakan.
“Kita guna Bas EV dengan menetapkan tiga check point sebelah barat melibatkan kawasan Iskandar Puteri, Bukit Indah, laluan utara menuju ke Skudai, Kulai dan laluan sebelah timur menuju ke Pasir Gudang, Tebrau, cara ini sahaja kita boleh elak isu kesesakan jalan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) RTS Link Johor Bahru-Singapura 2026 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Jimmy turut meluahkan rasa bimbang apabila reputasi kerajaan akan tercalar sekiranya tidak memikirkan secara serius isu kesesakan yang timbul.
“Isu kesesakan saya harap kerajaan jangan main-main, takut kalau isu ini tak selesai dengan baik saya rasa Johor akan tenggelam dengan ribuan protes dari rakyat,” katanya.
Selain itu, beliau turut risau akan berlaku kesesakan di kaunter Imigresen jika tiada perancangan rapi dibuat termasuk risiko individu bolos memasuki negara tanpa melalui pemeriksaan lengkap.
Penggubalan RUU RTS Link adalah bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang bagi pengoperasian RTS Link yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura dilakukan tanpa menjejaskan undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette
















