Mohd Rizal didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua tuduhan menggunakan wang milik universiti itu sebanyak RM165,094.50, empat hingga lima tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan menggunakan wang milik universiti itu sebanyak RM165,094.50, empat hingga lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rizal Sangaiman, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Mohd Rizal didakwa dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri wang berjumlah RM67,429 dan RM97,665.50 milik UTHM.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Batu Pahat dekat Jalan Kundang, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat antara 28 Januari 2021 sehingga 11 Jun 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ameera D’Aneez Mohd Shukari menawarkan jaminan antara RM20,000 hingga RM30,000 memandangkan nilai yang terbabit dalam pertuduhan melebihi RM150,000.

Peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih rendah antara RM10,000 hingga RM15,000 atas beberapa alasan.

Beliau berkata, anak guamnya tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana sudah memberi kerjasama dengan SPRM sejak tahun lalu tanpa gagal, malah hanya tinggal di Simpang Renggam dalam negeri ini.

“Tertuduh akan dijamin oleh isterinya yang bekerja sebagai kerani syarikat swasta dengan gaji antara RM3,000 hingga RM4,000.

“Tertuduh  juga mungkin akan digantung tugas sehingga kes ini selesai, sekali gus menjadi satu beban dan kesulitan kepadanya jika diberikan jumlah jaminan yang tinggi,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan 31 Mac depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast