Azizee beramah mesra dengan orang awam di Pasar Jelutong di sini, sempena Majlis Advokasi Op Selamat 25 bagi Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan kebakaran yang memusnahkan sembilan kenderaan di parkir Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas pada 27 Januari lalu berpunca daripada perbuatan khianat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, hasil siasatan polis membawa kepada penahanan tiga individu bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada sepasang lelaki dan perempuan yang merupakan pemilik sebuah pusat tuisyen serta seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu kepada pasangan terbabit.

“Kesemua suspek yang berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu ditahan di kawasan Jelutong di sini, sehari selepas kejadian.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Azizee mengadakan walkabout di Pasar Awam Jelutong di sini, sempena Advokasi Op Selamat 25 bagi Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN

9 kenderaan musnah dalam kebakaran di kondominium

Media pada 27 Januari lalu melaporkan sebanyak sembilan buah kenderaan musnah dijilat api dalam kebakaran di Kondominium Tunas Residensi, Bayan Lepas di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, lima buah kereta dan empat buah motosikal yang berada di tempat meletakkan kenderaan dilaporkan terbakar.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya mendapati tiada mangsa terlibat, namun kebakaran mengakibatkan kenderaan tersebut musnah sehingga 80 peratus.

“Antara yang terlibat adalah kereta jenis Perodua Bezza, Honda CRV, Perodua Myvi, Toyota Cross dan Honda Civic selain empat buah motosikal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast