Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 26 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Lebih 30 aplikasi perkhidmatan kerajaan baharu akan disepadukan ke dalam aplikasi MyGov tahun ini bagi memudahkan akses rakyat menerusi satu platform tunggal yang lebih bersepadu dan efisien, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, ia merupakan perluasan pengintegrasian perkhidmatan daripada aplikasi sedia ada seperti MySejahtera, MyJPJ, MyBorderPass dan MyDigital ID ke dalam aplikasi MyGov Malaysia.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kerajaan buat masa ini tidak bercadang untuk menghentikan aplikasi kerajaan sedia ada.

“Kerajaan akan terus memantau corak penggunaan serta keperluan rakyat sebelum mempertimbangkan sebarang langkah penyeragaman pada masa hadapan.

“Sehingga kini, MyGov Malaysia menyediakan 44 perkhidmatan melibatkan 16 agensi kerajaan.

“Proses integrasi ini dilaksanakan secara berterusan dan berfasa dengan keutamaan kepada perkhidmatan bersifat umum, berimpak tinggi serta kerap digunakan rakyat, termasuk fungsi permohonan dan semakan,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai cadangan untuk mewujudkan satu aplikasi Government Super App bagi menyatukan semua urusan kerajaan sekali gus menggantikan pelbagai aplikasi berasingan yang digunakan setiap agensi.

Gobind menambah, sehingga Rabu lalu, jumlah muat turun MyGov Malaysia mencecah lebih 1,567,000 berbanding 437,000 pada Disember lalu iaitu peningkatan hampir 200 peratus yang mencerminkan penerimaan positif rakyat.

Jelasnya, lonjakan itu didorong hebahan fungsi semakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta semakan Wang Tidak Dituntut (WTD) melalui aplikasi tersebut.

Selain itu kata beliau, pelaksanaan pembayaran STR pada bulan sama turut mendorong orang ramai memuat turun aplikasi bagi menyemak kelayakan dan status bayaran masing-masing.

Mengulas lanjut, Gobind mengakui kerajaan berdepan cabaran untuk menghimpunkan semua aplikasi sedia ada yang sedang digunakan pelbagai agensi dan jabatan ke dalam aplikasi MyGOV Malaysia dan memerlukan sedikit masa untuk menghimpunkan semua aplikasi sedia ada itu.

Sehubungan itu Gobind berkata, inisiatif Teknologi Kerajaan (GovTech) kini masih dalam proses dibangunkan dan dijangka dapat dilancarkan penggunaannya secara rasmi pada Jun tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast