GEORGE TOWN – Lelaki yang disyaki membunuh seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Butterworth pada 4 Februari lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Suspek berusia 40 tahun itu akan berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Butterworth.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan pertuduhan terhadap suspek akan dibuat esok.
“Ya, seorang lelaki akan didakwa esok,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kes bunuh ibu tunggal: Kertas siasatan diserahkan kepada DPP hari ini
Ibu tunggal maut dengan kesan kelar di leher
Terdahulu, beliau memaklumkan telah menyerahkan kertas siasatan kes pembunuhan wanita berusia 41 tahun itu kepada Pejabat Pendakwa Raya Negeri hari ini untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian pada 4 Februari lalu, C. Kanagee yang mesra dengan panggilan Chitra, 41, ditemui tidak bernyawa di dalam bilik tidur rumahnya dengan kesan kelar pada leher dipercayai akibat senjata tajam.
Susulan itu polis menahan tiga lelaki terdiri dairpada dua warga tempatan masing-masing berusia 40 dan 46 tahun serta seorang lelaki Rohingya berusia 38 tahun bagi membantu siasatan.
Azizee berkata, suspek utama yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis ketamin.
“Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan berkaitan cemburu,” katanya. – MalaysiaGazette















