KUALA LUMPUR – Lima ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini hadir ke Mahkamah Tinggi ke pengurusan kes saman mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesahihan Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh telah menetapkan 23 Februari ini sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.
Ketika prosiding, Jabatan Peguam Negara (AGC) yang diwakili Peguam Persekutuan, Krishna Priya Veenagopal memaklumkan mahkamah, pihaknya hanya menerima dokumen berkaitan semalam dan memerlukan masa tambahan untuk meneliti serta menentukan tindakan lanjut.
Peguam kepada ahli-ahli Parlimen terbabit, Karthigesan Shanmugam turut memaklumkan beliau diarahkan memfailkan permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan memandangkan isu yang dibangkitkan disifatkan sebagai perkara baharu daripada sudut perundangan.
Lima ahli Parlimen PN yang memfailkan saman tersebut ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah.
Saman pemula itu difailkan pada 19 Januari lalu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa Perdana Menteri dan kerajaan tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengikat Malaysia kepada ART tanpa melalui proses sewajarnya.
Mereka berhujah perjanjian tersebut tidak dibentang, dibahaskan atau diluluskan di Parlimen sebelum dimeterai yang menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap prinsip perlembagaan dan peranan badan perundangan.
Dalam saman berkenaan, mereka memohon mahkamah mengisytiharkan ART adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah serta sebarang notifikasi atau pelaksanaannya tidak mempunyai kesan undang-undang sekiranya didapati tidak mematuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan. -MalaysiaGazette
















