Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

KUALA LUMPUR – Pencapaian Program Rakan Muda pada tahun lalu yang diperkenalkan semula pada 2023 itu telah mendapat tahap capaian meluas apabila melebihi sasaran 25 peratus atau 2.42 juta daripada 9.66 juta belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kadar pembabitan belia dalam program Rakan Muda pada tahun lalu mencapai 41.26 peratus atau kira-kira 3.96 juta orang.

“Keberkesanan program Rakan Muda dinilai secara lebih menyeluruh melalui gabungan indikator output dan outcome termasuk tahap pembabitan aktif belia, pembangunan kemahiran, pengukuhan nilai sahsiah serta keberhasilan jaringan komuniti.

“Bagi tahun ini, saya meminta kementerian untuk tidak hanya menilai angka kuantiti semata-mata tetapi nilai ukuran ini perlu dengan angka kualiti itu sendiri.

“Ia bukan hanya berapa ramai yang menyertai program ini tetapi apa keberhasilannya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohammed Taufiq memberitahu, peruntukan RM40 juta bagi memperkukuh 10 gaya hidup Rakan Muda turut menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap keberkesanan dan pelaksanaan program itu pada tahun lalu.

Kata beliau, ia termasuk pengurusan peruntukan RM20 juta yang dilaksanakan secara berhemah dan berfokus kepada impak pembangunan belia.

Pada masa sama, kementeriannya juga meningkatkan julat usia penyertaan Rakan Muda bermula tahun ini, iaitu daripada 15 hingga sebelum mencapai usia 30 tahun, berbanding hingga 25 tahun sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast