KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli meningkat 37.3 peratus pada Disember 2025 (28,684 tan metrik) berbanding pada November 2025 (20,891 tan metrik), disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil (87.2%) berbanding estet (12.8%).

Bagaimanapun, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 25.1 peratus (Disember 2024:
38,299 tan metrik).

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, jumlah stok getah asli pada Disember 2025 meningkat 1.4 peratus kepada 121,686 tan metrik berbanding 120,030 tan metrik pada November 2025.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 76.2 peratus diikuti kilang pengguna getah (23.6%) dan estet getah (0.2%).

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 32,139 tan metrik pada Disember 2025, menurun 12.7 peratus berbanding November 2025 (36,820 tan metrik).

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu menyumbang 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2025 diikuti Jerman (16.4%), Emiriah Arab Bersatu (4.8%), Portugal (3.9%) dan Mesir (3.7%).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM1.3 billion pada Disember 2025, meningkat 37.3 peratus berbanding November 2025 (RM0.9 billion).

Analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan Lateks Pekat merekodkan peningkatan iaitu 0.7 peratus (Disember 2025: 576.20 sen sekilogram; November 2025: 571.93 sen sekilogram) manakala Sekerap meningkat 0.4 peratus (Disember 2025: 592.08 sen sekilogram; November 2025: 589.83 sen sekilogram).

Sementara itu, harga bagi pelbagai jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) menunjukkan peningkatan antara 0.3 peratus hingga 0.7 peratus.

The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga Disember bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 1.9 peratus (daripada USD1.71/kg kepada USD1.74/kg) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) meningkat 1.5 peratus (daripada USD2.03/kg kepada USD2.06/kg).

Prestasi suku keempat 2025 menunjukkan pengeluaran getah asli menurun 15.5 peratus kepada 79,247 tan metrik berbanding 93,815 tan metrik pada suku ketiga 2025.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku keempat 2025 turut mencatatkan penurunan 32.3 peratus berbanding suku keempat 2024 (117,040 tan metrik). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast