GEORGETOWN – Seorang pesara bank kerugian RM1.69 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan dalam talian yang menawarkan saham syarikat di luar negara.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, wanita berusia 66 tahun itu dikatakan terjerat selepas tertarik dengan iklan pelaburan saham menerusi Facebook yang menjanjikan keuntungan tinggi.
Katanya, mangsa kemudian mula berhubung dengan seorang lelaki suspek melalui aplikasi WhatsApp pada November tahun lalu sebelum dijemput menyertai kumpulan menerusi aplikasi berkenaan.
“Mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan dengan pulangan tinggi sehingga 10 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan dalam tempoh sehari.
“Susulan itu, mangsa yang berminat diminta mendaftar akaun keahlian sebelum melakukan 23 transaksi pemindahan wang ke dalam empat akaun bank berbeza milik syarikat tersebut antara 17 November hingga 6 Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azizee, wanita itu hanya menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima keuntungan yang dijanjikan malah diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan dan orang ramai diingatkan supaya tidak menyertai mana-mana skim pelaburan, terutama yang ditawarkan secara dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette
















