Razali Idris

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris yang menyatakan kesetiaan kepada presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai hipokrit dan bercanggah dengan tindakannya sendiri dalam pemilihan parti lalu.

Setiausaha Bahagian Bersatu Dungun, Ahmad Tarmizi Ghazali mendakwa, Razali didakwa pernah ingkar terhadap formula presiden apabila mencalonkan diri sebagai naib presiden serta mengetuai gerakan menggagalkan formula tersebut di bahagian-bahagian di Terengganu.

Ahmad Tarmizi Ghazali

Katanya, keutamaan Ketua BPN seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh parti peringkat negeri berbanding membuat kenyataan berhubung kesetiaan kepada pucuk pimpinan.

“Prestasi semasa Bersatu Terengganu pada hakikatnya masih belum mencapai tahap yang membanggakan. Usaha penambahan keahlian dan penubuhan cawangan baharu tidak menunjukkan peningkatan signifikan malah terdapat cawangan sedia ada yang tidak lagi aktif dan tidak digerakkan secara tersusun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada presiden dimaklumkan mengenai keadaan sebenar organisasi parti di Terengganu termasuk kegagalan melaksanakan penyelarasan serta pelan tindakan yang jelas dan menyeluruh di peringkat negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Tarmizi mendakwa, beberapa lawatan pimpinan negeri ke bahagian-bahagian tidak dimaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa Bahagian sehingga menimbulkan kekeliruan sekali gus mencerminkan kelemahan kepimpinan negeri.

Katanya, dari sudut peranan Razali sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, impak terhadap pengukuhan sokongan rakyat kepada parti juga didakwa belum menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

Sehubungan itu, Bersatu Bahagian Dungun menyarankan agar Razali memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengukuhan organisasi parti di Terengganu dan tidak sekadar menyatakan sokongan kepada Presiden tanpa disokong kekuatan akar umbi.

“Pengukuhan parti di peringkat negeri adalah asas penting kepada kestabilan dan kejayaan Bersatu secara keseluruhan. Bersatu Terengganu tidak harus selesa mengharapkan jentera rakan parti, Pas semata-mata.

“Kepimpinan negeri perlu memberi fokus kepada tanggungjawab tersebut secara menyeluruh dan berkesan bukan bermain politik murahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast