KUALA LUMPUR – Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini mengukuhkan peranannya sebagai peneraju inovasi sosial melalui pelaksanaan projek pemindahan ilmu paku pakis air, azolla.
Program yang menyasarkan Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Taman Kepong ini merupakan manifestasi perkongsian kepakaran dan teknologi tinggi untuk manfaat komuniti setempat.
Projek yang diterajui oleh pasukan penyelidik MJIIT diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad ini memberi fokus kepada penggunaan Azolla sebagai sumber makanan ternakan alternatif yang lestari.

Inisiatif ini dilaksanakan di bawah geran Dana Komuniti @UniMADANI daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), selaras dengan agenda Malaysia Madani untuk memperkasa komuniti melalui inovasi inklusif.
Azolla dianggap sebagai “tumbuhan super” kerana fungsinya sebagai baja biologi, makanan ternakan berkhasiat, dan pembersih air semula jadi.
Melalui projek ini, teknologi penanaman azolla yang efisien diperkenalkan sebagai solusi kepada kos makanan ternakan yang tinggi, selaras dengan SDG 2: Menghapuskan Kelaparan dan SDG 12: Pengeluaran yang Bertanggungjawab.
Menurut Dr. Pauziah, projek ini merapatkan jurang antara ‘menara gading’ dan masyarakat.
“Kami bukan sahaja mengajar cara bertani, tetapi menerapkan elemen sains dan bioteknologi mudah yang diringkaskan mengikut kesesuaian murid PPKI. Ia berfungsi sebagai terapi (healing) dan latihan kemahiran hidup bagi mereka,” jelas beliau.

Keberkesanan pendidikan berasaskan pengalaman terbukti apabila murid PPKI kini mampu mengendalikan kolam ikan Azolla secara mandiri.
Guru Besar SK Taman Kepong, Nor Asmaruzie Mohd Zain, menyifatkan kolaborasi ini sebagai anjakan paradigma yang membina keyakinan diri murid istimewa agar tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.
“Aktiviti ini adalah satu terapi dan latihan yang sangat bagus untuk pelajar pendidikan khas kami,” kata Nor Asmaruzie.
Manfaat ini turut dirasai ibu bapa, seperti Ridzwan Abu Bakar yang berkongsi keterujaan anaknya, Umar, mempelajari cara membiak Azolla dan menaiki bas UTM ke kampus bagi sesi praktikal.
Bagi memastikan kelestarian ilmu, satu Modul Mata Pelajaran Kemahiran Hidup (Pendidikan Khas) mengenai Azolla dan ternakan ikan telah diterbitkan.
Modul ini turut merangkumi elemen keusahawanan, yang mana pelajar telah mula menjual hasil ikan tilapia kepada
komuniti sekolah, sekali gus menjana pendapatan sampingan dan menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti.
Projek ini turut mendapat sokongan teknikal daripada Ecolife Agrofarm Sdn. Bhd. yang membekalkan baka Azolla berkualiti.
Sistem ternakan ikan manual di sekolah sebelum ini telah dinaik taraf oleh pasukan MJIIT kepada sistem yang lebih efisien, mengurangkan tenaga dan masa pengendalian bagi pihak sekolah.
Sinergi strategik di bawah model GUCI (Kerajaan, Universiti, Komuniti, dan Industri) ini menjadi bukti kukuh bahawa penerapan teknologi hijau mampu menghasilkan impak holistik.
Ia bukan sahaja memelihara kelestarian alam sekitar, malah bertindak sebagai pemangkin kepada pemerkasaan ekonomi serta kemandirian golongan berkeperluan khas secara mampan. – MalaysiaGazette
















