Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memutuskan menangguhkan pemilihan parti itu yang sepatutnya dijadualkan tahun ini.

Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ia mengambil kira Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dan pilihan raya negeri (PRN) terutama di Melaka, Johor dan Sarawak yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 19.2 (j) Perlembagaan Amanah yang memberikan kuasa berkaitan penangguhan pemilihan untuk tempoh selama 18 bulan kepada JKP Nasional.

“Pemilihan parti akan diadakan sebaik sahaja urusan PRU dan PRN selesai tanpa menunggu tempoh penuh penangguhan 18 bulan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatan Kuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (JKP Nasional) di sini malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, bagi mengukuhkan kesiapsiagaan Amanah berhadapan PRU-16 dan PRN, JKP Nasional mengarahkan Amanah di peringkat negeri dan kawasan untuk segera menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Ujarnya, temu rapat pimpinan utama Amanah dengan jentera di peringkat akar umbi akan diadakan mengikut zon yang akan ditetapkan tarikhnya kelak bermula di Melaka dan Johor.

Jelas beliau, Amanah sebagai salah satu komponen gabungan Kerajaan Perpaduan akan mengambil tanggungjawab memartabatkan kedudukan orang Melayu melalui polisi-polisi yang mampu mengangkat sosioekonomi orang Melayu dan memandu perubahan pemikiran orang Melayu.

Katanya, ia bagi menolak sentimen Melayu terpinggir dan Islam terancam yang dimainkan pihak pembangkang serta membawa naratif pemikiran baharu yang lebih rasional, progresif dan sederhana.

“Justeru, JKP Nasional malam tadi bersetuju supaya Amanah memainkan peranan lebih aktif dalam membawa perubahan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast