KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas pemandu lori daripada pertuduhan mengedar 172.6 kilogram dadah, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap V. Lingkswaran, 29, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah bahawa wujud akses pihak ketiga dalam rumah tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 172,609.6 gram (172.6 kg) methamphetamine, di sebuah rumah dua tingkat di Prima Pelangi, Segambut, pada 1.30 petang, 17 September 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan minimum, jika sabit kesalahan.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala peguam Sean Dudley mewakili tertuduh.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding, Sean bersyukur dengan keputusan tersebut dan menyatakan bahawa keadilan telah ditegakkan berdasarkan prinsip undang-undang dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah.
“Kes ini menarik perhatian umum memandangkan jumlah dadah yang dirampas adalah antara yang terbesar pernah direkodkan.
“Namun keputusan mahkamah menegaskan bahawa setiap pertuduhan mestilah dibuktikan dengan keterangan yang kukuh dan tidak meragukan,” kata peguam itu. – MalaysiaGazette
















