KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat penyiaran artikel yang diterbitkan Bloomberg.com yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/ Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sampai dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
“Artikel bertajuk Malaysian Anti-Graft Chief Returns To Stock After Outcry yang diterbitkan pada 10 Februari 2026 mendakwa Tan Sri Azam Baki memiliki sebanyak 17.7 juta saham dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Menurut Kumar, siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini. -MalaysiaGazette
















