KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah membuat keputusan memecat hak keahlian Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, daripada parti berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Majlis Pimpinan Tertinggi dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah memutuskan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai 13 Februari 2026 kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” menurut kenyataan itu.
Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang semalam memutuskan Hamzah dipecat daripada keahlian parti tersebut.
Keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap perkara yang dibangkitkan mengikut peruntukan perlembagaan parti.
Ia berdasarkan notis pemecatan yang ditandatangani pengerusinya, Datuk Mohd. Radzi Manan hari ini, yang dilihat MalaysiaGazette.
Berdasarkan notis berkenaan, lembaga tersebut memutuskan bahawa Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai tarikh surat itu dikeluarkan kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Dalam pada itu, menurut Azmin, tindakan tersebut mencerminkan langkah disiplin tegas terhadap mana-mana anggota yang didapati melanggar peruntukan parti.
Beliau berkata keputusan dibuat selepas proses pertimbangan sewajarnya oleh Lembaga Disiplin selaras dengan peruntukan sedia ada. – MalaysiaGazette
















