KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat kejadian dua penunggang motosikal yang bertengkar dan bertindak menghalang sebuah kereta di Jalan Cheras Perdana, Batu 11 Cheras, dekat Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya mengesan satu rakaman tular pada pukul 9.30 malam semalam yang dimuat naik di kumpulan Facebook “Update and Info” oleh pemilik akaun Sia Malay.
Rakaman tersebut memaparkan dua individu penunggang motosikal terlibat dalam pertengkaran serta melakukan halangan terhadap sebuah kereta di lokasi berkenaan.
Katanya, hasil siasatan mendapati, kejadian sebenar berlaku pada Selasa lalu kira-kira pukul 5.40 petang, semasa dua penunggang terbabit yang sedang menunda motosikal kerana mengalami kerosakan, terlibat dalam pertengkaran mulut serta menghalang seorang pemandu kereta yang berada di lorong betul.
“Tindakan kedua-dua penunggang motosikal tersebut yang melawan arus bagi menghampiri kenderaan berkenaan turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan berhemah, sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mengawal emosi ketika berada di jalan raya. – MalaysiaGazette
















