Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit menambah nilai sebanyak 3.9% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat tahun lalu.

Bank Negara Malaysia berkata, pergerakan ini didorong oleh faktor luaran dan dalam negeri.

Menurutnya, pada suku tersebut, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit menambah nilai sebanyak 3.8% berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia.

Daripada aspek luaran, perbezaan kadar faedah yang mengecil susulan pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve AS pada bulan Oktober dan Disember telah menyokong prestasi ringgit pada suku tersebut.

Selain itu, penambahan nilai ringgit didorong oleh berkurangnya ketidakpastian berkaitan tarif apabila AS memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan beberapa rakan dagangannya di rantau ini, termasuk Malaysia.

Di dalam negeri, prospek ekonomi Malaysia yang positif dengan disokong oleh beberapa usaha pembaharuan, terus mengukuhkan keyakinan pelabur serta menambah baik sentimen keseluruhan dalam pasaran kewangan domestik.

Bagi tahun 2025, ringgit menambah nilai sebanyak 10.2% berbanding dolar AS, manakala penambahan nilai NEER ringgit adalah sebanyak 6.3%.

Pada masa hadapan, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran. Meskipun begitu, asas dalam negeri yang berdaya tahan dijangka memberikan sokongan berterusan kepada ringgit.

Selanjutnya, usaha terselaras oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menggalakkan aliran dua hala yang kukuh dalam pasaran kewangan domestik.

Usaha yang sedang dijalankan ini termasuk program Qualified Resident Investor (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negeri, serta libat urus proaktif dengan para pelabur, pengeksport dan pengimport.

BNM juga akan terus memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast