Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli bercakap pada sidang media tergempar berkaitan dakwaan salah laku Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 13 FEBRUARI 2026

AMPANG – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendakwa dia dimaklumkan oleh sumber dalaman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa satu serbuan terhadapnya akan dibuat dalam masa terdekat.

Menurut Rafizi, maklumat itu diterima pagi ini susulan laporan yang dibuat terhadapnya oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perkasa dan  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Saya sedia maklum bahawa satu laporan SPRM telah dibuat oleh tiga NGO Melayu seperti Perkasa dan PPIM terhadap saya.

“SPRM juga dengan pantas telah membuat kenyataan semalam akan mengambil tindakan. Pagi ini, saya dimaklumkan oleh sumber dalaman SPRM bahawa satu serbuan terhadap saya akan dibuat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi berkata, beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu dan sudah bersedia menghadapi sebarang tindakan.

“Saya ini ‘veteran’ bab tangan kena gari, masuk lokap. Intimidasi seperti ini sudah berlaku pada saya, berbaloi untuk saya jika ia untuk perkara ini,” tegasnya.

Beliau menegaskan taktik intimidasi dan mencipta kes bukan perkara baharu dan pernah dilaluinya di bawah pentadbiran sebelum ini.

“Saya bersedia melalui semuanya kerana taktik intimidasi dan mencipta kes seperti ini telah dibuat oleh pentadbiran sebelum ini. Akhirnya, kebenaran akan tetap terserlah dan rakyat akan buat penghakiman,” katanya.

Rafizi turut mengingatkan rakyat merupakan penentu terakhir dalam menilai sesuatu isu.

“Seperti yang pernah dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar sendiri sebelum ini, rakyat adalah hakim negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata sekiranya Azam Baki, atau Perdana Menteri berpandangan taktik mengelak, intimidasi dan menutup perkara tersebut akan memperlahankan usaha mereka, pendirian itu adalah silap.

“Kami mahu memaklumkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kami menyuarakan tuntutan-tuntutan ini bagi pihak rakyat,” katanya.

Rafizi sebelum ini mendesak supaya dakwaan terhadap SPRM disiasat secara bebas dan telus serta menegaskan usaha itu akan diteruskan walaupun berdepan tekanan. – MalaysiaGazette

SPRM teliti dakwaan NGO terhadap bekas menteri kanan – Ahmad Khusairi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast