GENTING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memfokuskan usaha membanteras ejen dan orang tengah yang menjadi dalang sindiket berkaitan rasuah tidak bekesudahan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pendekatan ini bagi memastikan kumpulan-kumpulan tersebut tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Saya memberi amaran keras kepada mereka supaya menghentikan aktiviti ini dan kita telah mengumpulkan beberapa sindiket yang didalangi ejen dan kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawan: Memahami Peranan SPRM Dalam Pencegahan dan Usaha Memerangi Rasuah.
Menurut beliau, pihaknya mengenal pasti beberapa sindiket yang didalangi beberapa ejen, orang tengah serta pelobi projek.
“Tidak kira ejen di lapangan terbang, di pelabuhan, ejen melibatkan perolehan kerajaan dan sebagainya,” tambahnya.
Terdahulu beliau dalam ucapannya berkata, ejen dan orang tengah adalah pihak yang mengaut keuntungan banyak dalam sindiket berkaitan rasuah.
Terdahulu, Khusairi dalam ucapannya memetik contoh ejen yang membawa masuk seorang warga asing yang mempunyai rekod jenayah mampu meraih keuntungan sehingga RM5,000.
Namun ujarnya, penguat kuasa yang terima rasuah hanya diberikan RM1,000.
“Siapa punca sebenarnya, adakah pegawai Imigresen? Tidak. Yang jadi punca penggalak kepada rasuah adalah ejen-ejen.
“Jadi pada tahun ini kita ubah pendekatan kita untuk menekan ejen dan orang tengah,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















