Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Maritim Negeri Selangor dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2026

SHAH ALAM – Sebanyak tujuh aset nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor bersama Jabatan Perikanan (DOF) Selangor menerusi Operasi Bersepadu OP MARDOF dari 6 hingga 12 Februari lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, penahanan itu hasil dari 65 pemeriksaan fizikal ke atas pelbagai bot nelayan sepanjang tujuh hari operasi bersepadu itu.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak tujuh tangkapan telah direkodkan yang melibatkan sebuah vesel Kelas A, dua vesel Kelas B, sebuah vesel Kelas C, serta tiga bot fiber.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak tujuh aset telah digerakkan, terdiri daripada dua buah kapal dan tiga bot Maritim Malaysia serta dua bot milik DOF Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Suasana semasa mesyuarat Maritim Negeri Selangor dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2026

Turut hadir, Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar.

Selain itu, katanya, seramai 14 kru warga asing berusia antara 24 hingga 51 tahun ditahan atas kegagalan mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dalam penahanan tujuh vesel nelayan tersebut.

“Dari 14 kru warga asing itu, lima merupakan warganegara Indonesia, manakala sembilan individu pula warganegara Myanmar,” katanya.

Suasana semasa mesyuarat Maritim Negeri Selangor dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2026

Fairusnizam juga berkata, kejayaan OP MARDOF membuktikan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam menangani isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi semua agensi yang terlibat.

“Kami tidak berkompromi dalam memastikan sumber laut negara terpelihara dan aktiviti perikanan dijalankan mengikut lunas undang-undang serta etika yang ditetapkan,” katanya.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Maritim Negeri Selangor dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Selangor di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Foto AIZAT ZAINAL, 13 FEBRUARI 2026

Katanya lagi, penahanan itu dibuat pihaknya kerana mereka melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan, gagal mengusahakan sendiri vesel dan lesen tamat tempoh dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen yang sah.

“Hasil tangkapan juga mendapati mereka melakukan kesalahan kerana mengambil kru warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesemua warga asing yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 199/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast