Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah keluar selepas mengadakan perjumpaan bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 18 NOVEMBER 2025.

KUANTAN – Krisis dalaman Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin meruncing dibimbangi terus menjejaskan Perikatan Nasional (PN) khususnya di peringkat negeri.

Ketua Bersatu Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Asmawi Harun berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku lebih-lebih lagi jika terdapat penambahan pemecatan pemimpin dari parti itu selepas ini.

Mereka turut beri bayangan jumlah yang dipecat akan bertambah lagi selepas ini.

Jelas mereka, tindakan Bersatu memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta 16 lagi Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu disifatkan sebagai terburu-buru.

“Tindakan terburu-buru yg dibuat amatlah dikesali diketika mungkin Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan diadakan tidak berapa lama lagi.

“Dalam keadaan Bersatu hari ini sebagai pembangkang, kita kekurangan sumber, seharusnya presiden memikirkan survival dan masa hadapan Bersatu untuk 10 atau 20 tahun akan datang,” kata mereka kepada MalaysiaGazette.

Menurut mereka, Muhyiddin  seharusnya memberi ruang kepada Hamzah, dan bukannya memecat beliau.

“Ia boleh dilakukan tanpa menidakkan jasa Tan Sri Presiden untuk memimpin parti agar parti dilihat lebih segar..apatah lagi untuk menghadapi PRU16 dimana kita memerlukan panglima yang lebih aggresif untuk memimpin parti,” jelas mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast