Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mendakwa keputusannya memilih untuk menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin berpaksikan tuntutan agama serta amanah kepimpinan yang dipikul.

Beliau yang digantung keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum dipecat berkata, beliau sama sekali tidak menyesal dan kecewa menerima keputusan yang dibuat oleh lembaga disiplin parti.

Jelasnya, sebagai pimpinan tertinggi parti, beliau telah menunaikan tanggungjawab menasihati dan menegur Muhyiddin secara tertutup dalam banyak pertemuan peribadi selama tiga tahun.

Namun, dakwanya, Muhyiddin tetap berpegang kepada pendirian yang bercanggah dengan nilai Islam khususnya dalam isu moral dan integriti kepimpinan.

Bahkan, dakwanya, Presiden Bersatu itu tidak menunjukkan keprihatinan terhadap perlakuan yang mencemar maruah parti, termasuk isu salah laku yang amat bertentangan dengan prinsip Islam.

“Lebih mengecewakan, beliau seolah-olah tidak mengambil peduli terhadap sensitiviti pengundi Melayu-Islam yang jelas menolak pemimpin berakhlak buruk. Keengganan beliau menegakkan prinsip ini telah melemahkan kekuatan dan persiapan Perikatan Nasional, khususnya jentera Pas yang amat menitikberatkan nilai agama dalam perjuangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa, dari segi kepimpinan, Muhyiddin juga bersikap lepas tangan dan banyak urusan parti digerakkan oleh Hamzah, tetapi segala nama dan pujian mahu disandarkan ke atas diri presiden parti itu.

Ironinya, katanya, kini ramai yang bangkit menentang Muhyiddin adalah insan-insan yang dahulunya setia dan mempertahankan beliau sejak era UMNO.

“Kesetiaan ada batasnya. Ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak jika pemimpin itu menyimpang daripada jalan yang benar. Maka dalam keadaan ini, saya berpandangan tegas bahawa mempertahankan Tan Sri Muhyiddin atas nama parti atau perlembagaan semata-mata tidak lagi wajib, bahkan boleh menjerumuskan kita kepada dosa kerana mendiamkan kemungkaran.

“Saya mohon maaf kepada ayahanda Tan Sri dan semua ahli Bersatu, tetapi ini bukan sifat parti yang beramanah dan bermaruah. Segala yang dibina atas dasar perjuangan Islam dan integriti kini dikorbankan demi kerakusan kuasa dan keinginan untuk mempertahankan individu yang telah hilang arah moral. Saya menolak hal ini dengan penuh tanggungjawab kepada agama, bangsa, dan tanah air,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast