KUALA NERUS – Seorang wanita warga emas maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat subuh, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 7.32 pagi yang memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan pejalan kaki dan sebuah motosikal p-panggilan.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa, Minah Abu Bakar, 73, yang berjalan kaki dari kediamannya di Kampung Panji, Merbau Patah menghala ke Surau Haji Ahmad telah melintas masuk ke laluan penunggang motosikal yang datang dari arah Alur Limbat, Marang, menghala ke Batu Enam untuk mengambil pesanan makanan.
“Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di beberapa bahagian badan. Penunggang motosikal Muhammad Lutfi Che Ali, 22, sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami beberapa kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA















