BARISAN kepimpinan Bersatu Lembah Pantai yang bermesyuarat semalam.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lembah Pantai dibubarkan serta-merta, hasil mesyuarat yang dipengerusikan Ketuanya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin petang semalam.

Muhamad Muqharabbin berkata, keputusan itu diambil selepas semua pihak diberikan ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan dalam mesyuarat yang turut dihadiri Timbalan Ketua Bahagian; Naib Ketua Bahagian; Exco Kanan serta Ahli Jawatankuasa Bahagian tersebut.

Menurut beliau, majoriti kepimpinan bahagian itu juga menghadiri Program Reset anjuran Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai solidariti dan deklarasi bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam, yang memperlihatkan sokongan luar biasa daripada kepimpinan dan akar umbi parti di seluruh negara.

“Saya telah membuat pertimbangan yang menyeluruh, berlandaskan akal dan tanggungjawab perjuangan.

“Setelah beristikharah dan menilai secara mendalam, hati saya dengan yakin memilih seorang pemimpin yang bukan sahaja memahami denyut nadi rakyat, malah sentiasa turun bersama akar umbi, menghargai kesetiaan mereka, serta konsisten memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan negara tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Muhamad Muqharabbin, pilihan itu bukan dibuat atas kepentingan peribadi, tetapi demi memastikan kesinambungan perjuangan yang tulen, berprinsip dan berpaksikan kekuatan rakyat.

Katanya, beliau percaya perjuangan yang besar memerlukan kepimpinan yang berani, berwibawa dan tidak pernah lari daripada amanah rakyat walau dalam apa jua keadaan.

Ujarnya, kehadiran luar biasa pada program dan perjumpaan akar umbi bersama Hamzah semalam membuktikan bahawa kepimpinan tidak boleh dibina melalui arahan atau paksaan, tetapi melalui khidmat bakti, pengorbanan serta keikhlasan mendekati ahli di peringkat bawah.

Jelasnya, kehadiran ithu bukan sekadar angka, tetapi satu manifestasi keyakinan, kesetiaan dan iltizam bersama untuk terus mara dalam satu saf perjuangan yang kukuh, tersusun dan berjiwa rakyat.

“Walaupun berdepan tekanan dan ugutan tindakan disiplin, para pemimpin dan ahli tetap hadir memberikan sokongan.

“Ini membuktikan bahawa Hamzah bukan sekadar pemimpin organisasi, tetapi seorang tokoh yang benar-benar berakar dalam perjuangan parti, dihormati dan disayangi oleh seluruh lapisan ahli,” katanya.

Tambah beliau, keputusan membubarkan Bahagian Bersatu Lembah Pantai juga adalah langkah terbaik untuk beliau meneruskan perjuangan yang lebih besar dan mencabar dalam usaha membina kekuatan politik yang benar-benar berpaksikan rakyat serta mampu mempertahankan maruah dan masa depan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast