KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini menonjolkan dua figura utama iaitu bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang disifatkan sebagai `operator’ politik.
Bagi pemerhati politik, Azizi Safar, kedua-dua pemimpin berkenaan bukan sekadar ahli politik biasa, tetapi pemain strategi, arkitek gerakan dan individu yang tahu membaca kuasa di belakang tabir.
Menurutnya, kedua-dua pemimpin berkenaan juga dinilai kuat pada politik percaturan, yang mana bertepatan dengan pepatah Cina iaitu `dua ekor harimau tidak boleh berada di puncak yang sama’.
“Ia bukan tentang siapa lebih ganas, tetapi tentang realiti kuasa.
“Bila dua tokoh yang berpengaruh, berstrategi, dan ber`instinct’ politik tinggi berada dalam orbit yang sama, ketegangan itu hampir pasti wujud,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Azizi, ketegangan dalam politik antara dua pemimpin itu pula tidak semestinya muncul sebagai konflik terbuka, tetapi boleh hadir secara halus.
Katanya, ia sama ada melalui persaingan pengaruh, perebutan ruang strategik, perbezaan pendekatan serta dinamik kepercayaan dalaman yang sentiasa berubah.
Jelasnya, operator politik juga biasanya tidak bergantung kepada jawatan semata-mata, sebaliknya pengaruh mereka datang daripada rangkaian, keupayaan strategi, kawalan struktur dan kepercayaan kepimpinan.
“Sebab itu, kehadiran dua “heavyweight strategist” dalam ekosistem yang sama sentiasa menarik untuk diperhati.
“Bukan soal personaliti, tetapi soal ekosistem kuasa,” katanya.
Tambahnya, politik tidak pernah kosong daripada percaturan dalaman memandangkan ia adalah medan kesetiaan menentang survival; strategi menentang ego dan kerjasama menentang dominasi.
“Apabila dua pemain besar berada dalam permainan yang sama, persoalan yang selalu timbul, adakah mereka sekutu taktikal atau pesaing senyap?
“Dalam landskap politik Malaysia, kita sudah berkali-kali melihat sekutu menjadi pesaing, pesaing menjadi sekutu, kawan menjadi lawan dan lawan kembali menjadi rakan.
“Tiada yang benar-benar kekal kecuali kepentingan dan strategi,” ujarnya.
Tambah beliau, pada akhirnya politik bukan tentang siapa paling hebat, tetapi siapa paling tahan lama, siapa paling bijak menyesuaikan dengan keadaan dan siapa paling bijak membaca masa.
Dua harimau mungkin boleh berkongsi bukit tetapi sejarah politik menunjukkan, keadaan itu jarang stabil untuk jangka panjang.
“Hamzah kini sudah disingkirkan dari ‘puncak bukit’ Bersatu. Yang tinggal Azmin Ali. Kini, pemerhati politik hanya mampu menunggu dan melihat sejauh mana pula kedudukan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal di puncak.
“Politik sentiasa tentang timing. Dan permainan ini belum tamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















