GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menghentikan kerja pembinaan serta projek di jalan utama sepanjang musim cuti persekolahan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di negeri ini.
MBPP dalam kenyataan berkata, pemberhentian itu melibatkan kerja pembinaan dan korekan jalan kecuali kerja kecemasan, selain menyediakan pasukan penyelenggaraan yang bersiap siaga 24 jam untuk menangani sebarang masalah.
Menurut kenyataan itu, pihaknya turut melaksanakan Ops Cuti Sekolah melalui Jabatan Penguatkuasaan dengan tumpuan kepada kawalan lalu lintas dan tindakan penguatkuasaan di kawasan sesak serta lokasi tumpuan pelancong.
“Kita juga mengaktifkan ‘Ops Payung’ di Jalan Penang, Bukit Bendera dan Ayer Itam sehingga 22 Februari ini.
“Manakala laluan masuk dari Lebuh Light ke Jalan Padang Kota Lama ditutup pada waktu malam bagi melancarkan aliran trafik keluar dari Padang Kota.
“Selain itu, pemantauan CCTV dan rondaan trak tunda dilaksanakan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, rondaan dan kawalan turut dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di beberapa kawasan tumpuan termasuk Persiaran Gurney, Pulau Tikus, sekitar Komtar dan Persiaran Bayan Indah berhampiran Queensbay Mall.
“Justeru kita menasihatkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam serta mematuhi arahan penguat kuasa bagi membantu mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Pulau Pinang dijangka menyaksikan kira-kira dua juta kenderaan melalui negeri ini sepanjang Op Selamat 25 sempena Tahun Baharu Cina 2026, yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, angka itu meningkat berbanding kira-kira 1.8 juta kenderaan pada Op Selamat tahun lepas, susulan pergerakan warga kota dan mereka yang menetap di bandar pulang menziarahi keluarga, selain ketibaan Ramadan.
Beliau menjelaskan, peningkatan itu mungkin menyebabkan kesesakan di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran, terutama pada waktu puncak. – MalaysiaGazette















