KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memandang serius pendedahan Bloomberg menerusi platform YouTube yang mengaitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan dakwaan salah guna kuasa, campur tangan berkepentingan serta tindakan yang didakwa menekan pengusaha tempatan melalui siasatan terancang.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja bersifat berat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan, merosakkan reputasi negara serta menggugat kestabilan ekonomi sekiranya tidak ditangani secara telus dan menyeluruh.
Beliau menegaskan, setiap dakwaan melibatkan salah guna kuasa oleh mana-mana institusi penguatkuasaan mesti disiasat tanpa kompromi.
“Ketelusan adalah asas kepada integriti negara dan tiada mana-mana pihak boleh berada di atas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Perkasa menuntut satu siasatan bebas dan menyeluruh bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan tanpa sebarang campur tangan.
Dalam pada itu, katanya, Perkasa menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan awam, pasaran modal serta imej negara di mata pelabur antarabangsa.
“RCI merupakan mekanisme paling bebas dan berwibawa untuk mencari kebenaran serta memulihkan keyakinan rakyat dan komuniti pelabur,” katanya.
Perkasa juga menggesa agar mana-mana individu yang dinamakan atau dikaitkan dalam dakwaan tersebut digantung tugas sementara bagi mengelakkan konflik kepentingan dan memastikan siasatan berjalan tanpa tekanan.
Menurutnya lagi, kerajaan tidak boleh mengambil ringan isu berkenaan dan perlu menunjukkan komitmen tegas terhadap prinsip tadbir urus baik.
Pada masa sama, Perkasa menegaskan, SPRM sebagai institusi yang bertanggungjawab memerangi rasuah perlu memberi kerjasama penuh dan menunjukkan keterbukaan untuk disiasat.
“Keyakinan rakyat hanya dapat dipulihkan melalui tindakan, bukan penafian semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette
















