SEPANG – Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak melihat keperluan untuk bercuti daripada tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan persoalan yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung kedudukannya ketika ini.
Beliau berkata, desakan agar beliau bercuti tidak wajar dijadikan isu sambil menegaskan, beliau masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa.
“Itu terpulang. Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ini di mahkamah masih lagi bertugas?
“Ada orang jadi (bekas) Menteri Kewangan pun masih lagi dan dituduh menjadi Menteri Kewangan apa masalahnya? Apa saya ini penjenayah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani di Balai Raya Kampung Sungai Buah, hari ini.
Semalam, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa agar Azam bercuti atau digantung tugas sementara siasatan dijalankan berhubung dakwaan pemilikan 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat.
Mengulas lanjut, Azam berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan terhadap dirinya bagi memastikan proses siasatan berjalan secara neutral.
“Jawatankuasa ni sebenarnya I leave it to the committee. Saya dah buat pengumuman jadi saya tak mahu campurlah siapa-siapa dilantik dan sebagainya saya tak mahu komen dan mereka boleh jalankan tanggungjawab mereka,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh termasuk menyediakan dokumen atau keterangan jika diperlukan.
“Saya bersedia untuk memberi apa-apa jua dokumen dan keterangan yang mereka perlukan. Saya dah sedia pun jadi bila-bila masa kalau dipanggil saya akan bagi dokumen-dokumen berkenaan tak ada apa yang saya nak mahu sorokkan,” katanya lagi.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil, sebelum ini berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan terhadap Azam yang dilaporkan memegang sejumlah besar saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah memastikan proses siasatan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan pada Isnin.
Sementara itu, dalam kenyataan rasmi pada Jumaat, Azam menegaskan beliau terbuka sepenuhnya untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan berhubung isu pemilikan saham tersebut.
Beliau menambah semua pengisytiharan kewangan serta harta miliknya telah dibuat mengikut peraturan perkhidmatan awam melalui saluran rasmi sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam. — MalaysiaGazette
















