KUALA LUMPUR – Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta tindakan saman Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terhadap agensi media Bloomberg disifatkan sebagai tidak wajar dan bercanggah dengan prinsip kebebasan media.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, tindakan tersebut menghantar mesej yang salah seolah-olah kredibiliti pegawai tinggi kerajaan tidak boleh dipersoalkan dan mana-mana pihak yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, situasi itu secara langsung menjejaskan peranan media sebagai Estet Keempat dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan.
“Sebaliknya, kerajaan perlu mengamalkan ketelusan dengan memberi penjelasan, lebih-lebih lagi apabila isu yang dibangkitkan membabitkan pegawai tertinggi dalam badan yang bertanggungjawab mencegah rasuah di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, walaupun SPRM mempunyai kuasa luas untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap semua agensi kerajaan namun masih terdapat kekurangan daripada segi mekanisme pengawasan bebas untuk memantau badan itu sendiri.
“Apabila wujud dakwaan salah guna kuasa terhadap pemimpin tertinggi SPRM, sepatutnya ada satu badan bebas untuk menjalankan siasatan bagi memastikan keadilan ditegakkan dan kepercayaan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan kegagalan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri menggantung perkhidmatan Azam.
“Bagaimanakah keadilan, kebebasan dan ketelusan dapat dijamin apabila individu yang disiasat masih memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM?” soalnya.
Yee Fung turut mendakwa ia bukan kali pertama kerajaan menggunakan tekanan serta ancaman tindakan undang-undang bagi menangani kritikan terhadapnya sehingga menimbulkan kebimbangan bahawa kebebasan bersuara dan kebebasan media semakin terhakis.
Kerajaan perlu memahami agensi media bukan musuh negara sebaliknya setiap pendedahan atau kontroversi yang dibangkitkan adalah demi memperkukuh sistem demokrasi, keadilan dan kepentingan rakyat.
Beliau turut mengingatkan agar pihak polis tidak disalahgunakan sebagai ‘senjata’ untuk menakutkan rakyat.
“Sebarang kontroversi membabitkan kepimpinan tertinggi kerajaan mesti ditangani mengikut prosedur dan sistem perundangan yang betul serta bebas, bukannya dengan menindas atau menyekat pandangan berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menegakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban melalui siasatan yang bebas dan menyeluruh di samping memberi jaminan bahawa peranan media sebagai Estet Keempat akan terus dihormati.
“Mekanisme SPRM juga perlu diperkukuhkan bagi memastikan kebebasan serta akauntabiliti institusi itu terjamin, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan SPRM,” katanya. – MalaysiaGazette
















