Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berucap pada majlis perasmian Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Buah, Dengkil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 FEBRUARI 2026

SEPANG —  Tan Sri Azam Baki menegaskan tuduhan melabelkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ‘mafia korporat’ adalah tidak berasas serta bersandarkan maklumat yang tidak sahih.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, dakwaan berkenaan tidak memberi kesan kepadanya kerana ia dipetik daripada sumber yang tidak mempunyai kesahihan dan tidak disokong bukti kukuh.

“Saya tak pedulilah YouTube, ini semua kalau mereka ada apa keterangan yang mereka ambil daripada mana-mana maklumat tidak sah, terpulang kepada mereka.

“Sesiapa nak buat laporan polis pergilah, saya tidak kisah mengenainya.

“Kamu (wartawan) ada etika sendirikan. Adakah kamu ingin ambil maklumat dan berita dari maklumat yang tidak sahih?

“Kalau ada bukti, pergi kepada pihak berkuasa dan buat laporan. Senang saja. Buatlah apa video pun, apa-apa video pun kalau ada elemen jenayah, pergi ke mahkamah dan pihak berkuasa. Saya okey,” katanya.

Azam berkata demikian selepas merasmikan Kampung Angkat Madani di Balai Raya Kampung Sungai Buah di sini hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi hantaran di media sosial menyorot laporan media antarabangsa yang mendakwa SPRM dibolosi individu yang terpalit pelbagai tuduhan jenayah termasuk penggunaan syarikat peminjam wang berlesen bagi mencuci wang hasil aktiviti haram.

Dalam sidang media sama, Azam memaklumkan beliau telah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas diterima dalam tempoh ditetapkan.

“Saya dah hantar LOD dalam tempoh 14 hari, kalau dia (Bloomberg) tak menjawab apa yang kami kata tu, saya akan teruskan samanlah till the end’,” katanya.

Laporan Bloomberg menyebut Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan pada Isnin.

Namun beliau menegaskan,  pegangan bernilai kira-kira RM800,000 itu dibuat secara telus mengikut prosedur, sambil menyatakan setakat ini belum dipanggil memberi keterangan tetapi bersedia bekerjasama serta menyerahkan semua dokumen berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast