KUALA LUMPUR – Exco Pemuda UMNO, Mohd Syauqi Ibnihajar Ahmad berpandangan UMNO tidak sewajarnya menerima semula bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin ke dalam parti itu.
Menurutnya, ia berdasarkan sejarah pengkhianatan yang jelas oleh Ahli Parlimen Larut berkenaan termasuk meninggalkan UMNO pada Disember 2018 ketika parti itu sedang lemah selepas kekalahan pada pilihan raya umum dengan menyertai Bersatu bersama beberapa Ahli Parlimen UMNO lain.
Selain itu, katanya, Hamzah juga terlibat dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang sering dianggap UMNO sebagai manipulasi politik serta pengkhianatan terhadap kerjasama.
Dalam masa sama, ujarnya, isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 yang mana PN dilihat cuba mengambil alih negeri itu daripada UMNO juga sewajarnya menjadi pengajaran untuk tidak menerima semula Hamzah.
“Walaupun inisiatif ‘Rumah Bangsa’ datang daripada Presiden UMNO sendiri untuk menyatukan orang Melayu, menerima balik Hamzah hanya akan menimbulkan perpecahan lebih besar dalam parti, merosakkan kredibiliti UMNO di mata akar umbi yang masih ingat “pengkhianatan” ini, dan dilihat sebagai mengambil kesempatan atas krisis dalaman Bersatu.
“Pengkhianat tetap pengkhianat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Semalam, Hamzah dalam program `Reset Politik’ selepas dipecat daripada parti itu memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ selepas ini.
Bagaimanapun, kata Hamzah, istilah rumah baharu itu tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya mungkin menyertai parti lama sama ada mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuk Hamzah sekiranya dipecat daripada Bersatu.
Menurut Ahmad Zahid, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka untuk pemimpin atau individu yang ingin bersama UMNO semula, selaras objektif penubuhan gagasan tersebut. – MalaysiaGazette
















