KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan penulis bidang analisis geopolitik, Ahmad Faezal muncul calon pertama yang dipilih untuk menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bersama misi Sumud Nusantara.
Pengumuman itu dibuat Sumud Nusantara yang turut memaklumkan pemilihan peserta untuk menyertai pelayaran bot tersebut disifatkan amat mencabar berikutan peluang yang terhad serta proses saringan yang ketat.
“Beliau berada di Dimashq, di hadapan makam Salahuddin Al-Ayyubi dan kelihatan Menara Putih sebagai latar belakang ketika kami sedang bercerita.
“Semoga ia petanda baik untuk semua,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman media sosial di sini hari ini.
Sumud Nusantara merupakan gerakan akar umbi pelbagai negara yang menyatukan hati dan suara demi Palestin.
Dianjurkan oleh MyAqsa Defenders dan Cinta Gaza Malaysia bersama NGO tempatan dan luar negara, inisiatif itu diilhamkan daripada Sumoud Convoy dari Tunisia tetapi kali ini suara solidariti bergema dari Asia Tenggara.
Gerakan menghubungkan Malaysia, Indonesia, selatan Thailand dan negara serantau lain, menuju kepada kemuncak pergerakan simbolik melalui konvoi darat, udara dan laut yang membawa bukan sahaja bantuan kemanusiaan, tetapi juga mesej advokasi yang kuat.
Matlamatnya jelas iaitu mendesak badan antarabangsa membuka koridor kemanusiaan kekal ke Gaza, demi menghentikan pembunuhan berterusan dan penindasan terhadap rakyat Palestin. – MalaysiaGazette















