KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Port Klang berjaya merampas lebih 61.7 tan e-waste selepas menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas 20 buah kontena di tapak pemeriksaan CFs 4, Pelabuhan Klang Barat, pagi tadi.
Pemeriksaan yang diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang, DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal turut disertai agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM, CCU Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang dan Jabatan Alam Sekitar, Selangor.
Nik Ezanee berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga kontena berisi e-waste manakala 17 kontena lagi mengandungi sisa plastik.
Pecahan hasil pemeriksaan kontena e-waste merangkumi sebuah kontena mengandungi campuran kabel dan eWaste seberat 23.9 tan; sebuah kontena mengandungi e-waste melebihi 20 tan dan kontena ketiga menandungi campuran e-waste seberat 18.1 tan.
Menurut AKPS, kesemua kontena masuk ke dalam negara seawal Julai 2025 hingga Januari 2026.
“Kemasukan Bahan Buangan Terjadual adalah dilarang sama sekali menurut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Kontena-kontena eWaste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis dari JAS Selangor dan JAS pusat bagi tujuan re-export,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa-sisa yang terlarang.
AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette
















